MITIB, 22 November 2019 - Majlis Sambutan Maulidur Rasul merupakan natijah daripada perasaan cinta dan rindu terhadap Baginda Rasulullah SAW. Begitu juga perasaan taat, ingat, ingin mencontohi Baginda dan berbangga dengan Baginda sebagaimana Allah SWT bangga terhadap Baginda dengan memuji Baginda di dalam Al-Quran. Majlis ini dijalankan selama sebulan, bermula daripada 1 November 2019 sehingga 28 November 2019.
"Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak yang mulia." (Al-Qalam:4)
Majlis ini dirangka dengan aktiviti yang agak sederhana tetapi melibatkan kerjasama semua guru dan pelajar bertepatan dengan temanya pada kali ini iaitu "Negara Rahmah Ummah Sejahtera". Majlis ini dilaksanakan bertujuan untuk memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW disamping menghayati sirah hidup Baginda. Secara tidak langsung, ia memberi peluang kepada para pelajar supaya dapat sentiasa mencontohi akhlak dan budi pekerti mulia yang dimiliki oleh Baginda Rasulullah SAW serta memperbanyakkan selawat ke atas Baginda.
Memperingati sirah Nabi Muhammad SAW dan mengambil iktibar daripada pengorbanan Baginda terhadap umatnya yang tercinta serta menyedarkan para pelajar akan kasihnya Baginda Rasulullah SAW terhadap umatnya merupakan matlamat utama majlis ini. Sedikit sebanyak, majlis ini berjaya mendidik pelajar untuk lebih kenal dan cinta akan Rasulullah SAW. Bukan itu sahaja, malah ia sekaligus mampu mentarbiyah pelajar agar beramal dengan Sunnah Rasulullah SAW dan sentiasa berselawat ke atas Baginda.
Antara aktiviti-aktiviti yang telah dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya adalah:
- Perasmian Program Maulidur Rasul (Selawat beramai-ramai) - 15 November 2019
- Pertandingan Qasidah (Banin & Banat) - 18 November 2019
- Perarakan Selawat - 22 November 2019
- Ceramah dan Kuiz - 22 November 2019
- Penyampaian Hadiah - 22 November 2019
- Program Satu Sunnah Satu Minggu, Tiru Gaya Nabi dan Pameran Sirah Nabawi - Sepanjang bulan November
Istimewanya majlis kali ini adalah dengan penglibatan daripada para pelajar daripada Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya dalam setiap program yang dirancang bermula daripada 15 November 2019 sehingga 20 November 2019. Kesemua pelajar SAS dan MITIB telah memberikan komitmen yang sangat tinggi dan bersungguh-sungguh kearah memartabatkan Al-Quran di dalam kehidupan seharian mereka. Pihak sekolah mendoakan agar kesemua para pelajar dari kedua-dua buah sekolah ini sentiasa mendapat limpahan rahmat dan barokah serta pahala yang besar dari Allah SWT.